Tuesday 2 June 2015

Pelabur Hartanah Tegar

Perbualan ini berlaku di sebuah surau selepas solat magrib di antara seorang anak (M) dan ayahnya (L)

M: Abah, kita nak balik rumah boleh?
L: Duduk kat surau aja. Isya’ dah tak lama lagi

M: Nak buat apa kat surau?
L: Baca Quran boleh. Dapat pahala

M: Hmmm.....(sambil berlari keluar surau dan bermain bersama kawannya)

Kira-kira 5 minit kemudian...

M: Abah kita nak balik rumah, boleh?
L: Duduk kat surau aja. Isya dah dekat dah ni. Abang boleh baca Quran. Baca 11 kali Qulhuallah (surah Al Ikhlas), Allah akan bagi 1 rumah banglo / mahligai kat syurga

M: Kalau tak dapat masuk syurga macam mana?
L: Hmmm (sambil menarik nafas memikirkan jawapan yang sesuai dengan akal anak berumur 10 tahun ini). Kalau kita dah ada rumah kat syurga, insyaAllah kita akan dapat masuk syurga.

M: Abah dah berapa kali dah baca Qulhuallah
L: Abah baca 11 kali setiap pagi. Kalau tak sempat pagi, abah baca waktu malam macam sekarang.

M: Sejak bila lagi abah baca?
L: Abah baca semenjak abah dengar hadis ini

M: Bila?
L: Masa abah pergi surau, ada ustaz mengajar pasal hadis ini.

M: Oooo...(sambil mulut mula membaca Surah Al Ikhlas)

5 minit kemudian....

M: Kalau kita baca 110 kali kita akan dapat 10 buah rumah banglokan abah?
L: Iya......Tak perlu baca banyak terus sekaligus. Baca 11 kali seharipun dah bagus. Yang penting istiqomah. Sentiasa baca setiap hari.

M: Banyak-banyak rumah nanti kita nak buat apa?
L: Kita boleh niatkan pahala bacaannya untuk Rasulullah SAW, ibu, ayah, isteri, adik beradik, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang kita sayang. Suka tak kalau kita dan orang-orang yang kita saya ada rumah, apa lagi kalau rumah itu kita yang hadiahkan

M: Oooooo.....(sambil kedengaran azan isya’)


PENGAJARAN
******************

1. Selain melabur hartanah di dunia, yang mungkin keuntungan (pasif incomenya) sebanyak RM100-RM500 bagi rumah yang masih dibiayai bank, sehingga RM600-RM2000 bagi rumah yang dah habis bayar; kita juga perlu memperbanyakkan melabur ‘hartanah di akhirat’

2. Hartanah dunia gunanya untuk dunia, dan hartanah akhirat gunanya untuk akhirat. Dunia adalah sesuatu yang dekat dan manfaatnya sekarang. Akhirat adalah sesuatu yang jauh dan manfaatnya berpanjangan insyaAllah

3. MLM yang paling untung adalah MLM yang berasaskan keuntungan akhirat. Setiap ilmu yang kita sampaikan; dan orang lain amalkan; insyaAllah kita akan juga dapat saham pahalanya tanpa menjejaskan pahala orang yang mengamalkan tersebut.


RUJUKAN HADIS
*********************

“Siapa yang membaca  “qulhuwa allahu ahad” sampai selesai sebanyak sepuluh kali, maka Allah akan membangunkan baginya istana di surga.” Umar bertanya: “Kalau begitu  kita memperbanyak istana wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Allah lebih banyak dan lebih baik.” (HR. Ahmad disahihkan al-Albani dalam Silsilah Shahihah no. 589 juz 2:137).

Rasululllah SAW bersabda:  “Sesiapa membaca ‘Qul HuwAllahu Ahad’ (Surah Al-Ikhlas) sebanyak 11 kali, dikurniakannya satu mahligai indah di syurga.”  (HR.Ahmad dan Muadz bin Anas).

Rasululllah SAW bersabda:  “Sesiapa yang membaca 10 kali surah Al-Ikhlas siang dan malam; Maka Allah memberinya sebuah istana dalam syurga.”  (HR: Imam Ahmad & Imam Adarimi.)

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga macam perbuatan, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya "(Hadis Riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment

Komen Sahabat