Sunday 23 February 2014

Travelog Umrah dan Ziarah (4) Keutamaan Madinah dan Masjid Nabawi

Madinah adalah kota hijrah, kediaman dan pusat dakwah baginda Nabi Muhammad SAW. Di bumi Madinah, bersemayamnya jasad suci baginda Rasulullah SAW dan tertegaknya masjid Nabawi. Di pintu-pintu kota Madinah ada malaikat penjaga, dan didalamnya ada sebuah taman syurga. Sesiapa yang meninggal di kota ini akan mendapat syafaat Baginda Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW mengharamkan kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim mengharamkan kota Mekah.


Keutamaan Madinah
Antara kelebihan Madinah mengikut hadis Nabi Muhammad SAW adalah, sepertimana yang tercatat dalam buku-buku hadis, buku kelebihan Madinah, buku sejarah, dan juga diperturunkan dari satu ganerasi kepada ganerasi berikutnya adalah:

(1)    “Ya Allah, berilah kami kecintaan kepada Madinah seperti cinta kami terhadap Mekah atau bahkan melebihinya” HR Bukhari no. 1889, HR Muslim no. 1376

(2)   “Ya Allah, jadikanlah di Madinah 2 kali ganda keberkatan yang telah Engkau jadikan di Mekah” HR Bukhari no 1885 dan HR Muslim no 1369

(3)   “Sesunguhnya Ibrahim telah menjadikan Mekah sebagai tanah haram dan dia mendoakan penduduknya, dan sesungguhnya aku menjadikan Madinah sebagai tanah haram seperti yang dilakukan oleh Ibrahim terhadap Mekah, dan aku mendoakan agar sha’ dan mudnya diberkati 2 kali ganda daripda doa Ibrahim untuk penduduk Mekah” HR Buhari no. 2129 dan HR Muslim no. 1360




Lukeman bersama Liza perkarangan masjid Nabawi; di bawah kubah hijau terdapatnya jasad baginda Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar RA dan juga Saidina Umar RA, yang dimakamkan di sini. Kubah putih adalah mihrab Masjid Nabawi sekarang, tempat imam solat.


Lagi sambungan kelebihan Madinah dan Masjid Nabawi mengikut hadis Nabi Muhammad SAW adalah:
 
(4)   “Sesungguhnya keimanan akan kembali ke Madinah seperti kembalinya seekor ular ke dalam lubangnya” HR Bukhari no. 1876 dan HR Muslim no. 147

(5)   “Sesungguhnya Madinah adalah thayyib (baik) dan ia mengikis kekotoran seperti api mengikis kotoran pada perak” HR Muslim no. 1384

(6)   “Tidaklah seseorang yang tetap tinggal (di Madinah), bersabar dengan cubaan dan kesukarannya lalu meninggal di sana, melainkan aku akan memberi syafaat dan menjadi saksinya pada hari kiamat, jika dia seorang muslim” HR Muslim no. 1374

(7)   “Sesiapa yang mampu menutup usia di Madinah, maka hendaklah dia meninggal di sana, kerana aku akan memberi syafaat pada orang yang meninggal di sana” HR Tarmizi no. 3917 dan HR Ahmad jilid 1, hal. 74

(8)   “Sesiapa yang mengancam penduduk Madinah secara aniaya, maka Allah akan membalas ancamannya, pasti untuknya laknat laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya” HR Nasai

(9) “Di pintu-pintu masuk Madinah, ada para malaikat menjaganya sehingga penyakit taun dan dajjal tidak dapat memasukinya” HR Bukhari no. 1880 dan HR Muslim no. 1379

(10)  “Madinah adalah tempat hijrahku, di sana tempat tinggalku, dari sana nanti aku dibangkitkan, penduduknya adalah tetanggaku, tentulah menjadi kewajipan bagi umatku menjaga tetanggaku” HR Al Firdaus


Suasana di dalam masjidil Nabawi sebelum waktu magrib hari Khamis 23.1.2014. Kain saprah dibentangkan, air zam-zam, kurma dan roti disediakan untuk para Jemaah yang berpuasa.

Roti sebesar ini juga diberikan secara percuma kepada Jemaah, memang tak larat nak habiskan seorang, kena kongsi-kongsi makan baru habis insyaAllah.
Tasbih juga diedarkan secara percuma di dalam masjid Nabawi pada petang Khamis.


Keutamaan Masjid Nabawi dan Raudhah

Antara hadis yang menceritakan tentang keutamaan dan kelebihan masjid Nabawi adalah:

(11)   “ 1 solat dimasjidku ini lebih utama daripada 1000 solat di tempat lain, kecuali masjidil Haram, dan 1 solat di masjidil Haram lebih baik daripada 100 000 solat di tempat lain” HR. Bukhari no 1190 dan HR Muslim no. 1394

Hasan Al Bashri rahimahullah berkata “Puasa sehari di Mekah sama dengan puasa 100 000 hari, sedekah 1 dirham sama dengan 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan menjadi 100 000” Fadail Mekah oleh Hasan Al Basri hal. 21

Mujahid rahimahullah berkata “Dosa berbuat kejahatan di Mekah dilipatgandakan seperti amalan kebajikan di Mekah” Mutsir al Ghuram hal. 234


1 solat  di masjid Nabawi= 1000 solat di tempat lain = 1000 / 30 = 33.33 bulan solat ditempat lain.

(12) "Di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu taman syurga, dan mimbarku ini ada di atas telagaku" HR Bukhari no. 1888 dan HR Muslim no. 1391

Masjid Nabawi ketika payung di dataran dibuka ataupun ditutup


Lagi pandangan Masjid Nabawi dari tempat yang agak tinggi, iaitu dari pintu masuk ke perkuburan Baqi' yang terletak di bahagian depan-kiri perkarangan masjid, sepagar dengan masjid Nabawi.


Keutamaan Menzirahi / Mengadakan Perjalanan ke Masjid Nabawi

(12) Tidaklah kalian mengadakan perjalanan khusus melainkan kepada 3 masjid iaitu (masjidil Haram, (2) masjidil Rasul SAW dan (3) masjidil Aqsa" HR Bukhari no.1189 dan HR Muslim no.1397

(13) Dari semenjak salah seorang dari kalian keluar dari rumahnya menuju kemasjidku, setiap langkah kakinya ditulis kebajikan, dan satu langkah kaki lagi dihapuskan kesalahan sehingga ia kembali" HR Ibnu Hibban no.1622

(14) Sesiapa yang datang kemasjidku ini, hanya mengharapkan kebaikan dengan menuntut ilmu atau mengajarkan ilmu, maka ia berada pada tempat orang yang berjihad fisabilillah dan siapa yang datang dengan tujuan selain itu, maka ia seperti seorang laki-laki yang hanya datang melihat kesenangan orang lain" HR Ibnu Majah no.277


    
Perkuburan Baqi' berlatar belakangkan masjid Nabi, bersama Jemaah dari Mesir.

Masjid Nabawi daripada perkuburan Baqi'. Di perkuburan ini jasad Saidatina Aisyah RA dimakamkan.


Keutamaan Masjid Quba’

Masjid Quba’ adalah masjid pertama yang Rasulullah SAW bina semasa dalam perjalanan hijrah daripada Mekah ke Madinah. Inilah masjid pertama tempat Baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya solat secara berjamaah secara terang-terangan

(15) “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat didalamnya. Didalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri” QS At Taubah ayat 108

Ulama menyatakan masjid Nabawi dan masjid Quba’ dimaksudkan dalam ayat ini

(16) “Adalah Nabi SAW mengunjungi masjid Quba’ setiap hari Sabtu, kadang berjalan kaki dan kadang naik kenderaan” HR Bukhari no.1193 dan HR Muslim no. 1399

(17) “Sesiapa yang keluar dari rumahnya dan mendatangi masjid ini (masjd Quba’) lalu solat didalamnya, maka pahalanya seperti dia melakukan umrah” HR Hakim

Masjid Quba'


Suasana di dalam masjid Quba'. Para Jemaah sosat sunat didalamnya. Kami tiba dalam 9.30 pagi di sini

Selepas solat sunat sebelum berangkat keluar, ambil foto sebagai kenangan

Pandangan dari luar masjid Quba' sebelum berangkat pergi meninggalkannya. Agak sedih sebab hanya kira-kira 20 minit berada dalam masjid ini. Moga lain kali dapat sampai lagi ke sini dan moga dapat solat sunat banyak kali lagi di sini insyaAllah



Inilah antara hadis-hadis yang menggambarkan kelebihan Madinah dan Masjid Nabawi. Bila dating sini akan terasa masa sangat berharga. 1 solat di sini menyamai 1000 solat ditempat lain, ataupun solat selama 33.33 bulan ditempat lain. Jadi rasa amat rugi bila 5 minit dibazirkan untuk aktiviti yang kurang berfaedah seperti shopping dan sebagainya. Kali pertama dating manfaatkan waktu berada di Masjid Nabawi selama dan sekualiti mungkin.

Kita niat ibadah insyaAllah benda-benda sampingan akan diselesaikan dengan sendiri. Contohnya Lukeman hanya bawa 1 pasang jubbah ke sini, jadi terdetik di hati nak beli tambahan jubbah di Madinah ataupun Mekah, tapi dah set dalam hati, kalau tak ada pun tak apa, sebab dah bawa tambahan baju melayu 2 helai dan baju kemeja 2 helai. Dalam perjalanan pulang dari masjid akan ada ramai penjual. Kebetulan lalu dan ada orang jual jubbah, jadi Alhamdulillah boleh beli tanpa perlu buang masa cari kedai.

Beli 1 helai je dulu. Balik bilik, cuba, muat, dan masa nak pergi masjid / balik dari masjid nanti boleh beli lagi. Jimat masa. Jadi niatkan untuk beribadah sebaik mungkin di Masjid yang memberikan 1000 pahala ini. Setiap saat amat berharga. Moga perkongsian bermanfaat insyaAllah.

Wallahhua’lam
Liza & Lukeman
Bangi Selangor
24.2.2014
Shaklee Independent Distributor ID: 1089476
Tel/sms/whatsapp: 0196515717 / 0132299319
Blog: www. jombahagia.blogspot.com
Email: jombahagia@gmail.com

Artikel berkaitan:

1. Travelog Umrah dan Ziarah (3) Kekal Sihat dan Cergas di Madinah dan Mekah
2. Travelog Umrah dan Ziarah (2) Keutamaan Mekah
3. Travelog Umrah dan Ziarah (1) Bangi menuju Madinah