Friday 20 December 2013

Sek Sri Al Amin vs Sek Integrasi vs Sek Kebangsaan

Hujung tahun adalah waktu yang sibuk bagi ibu bapa untuk melakukan persiapan persekolahan anak-anak. Kami juga sama. 2014 insyaAllah 3 orang anak kami akan ke alam persekolahan. Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang pilihan sekolah rendah yang ada khususnya di kawasan Bangi ini. Faktor pemilihan yang biasa ibubapa tekankan adalah silibus pengajian, pembentukan akhlak, jarak dari rumah ke sekolah, sesi pagi atau petang dan tidak lupa juga kos yang perlu ditanggung sepanjang tahun pengajian.

Sek Sri Al Amin Bangi (SSAAB)


Yuran: Bermula tahun 2012 yuran bulanan dinaikkan daripada RM235 (pelajaran dan makan) kepada RM320. Perbezaan nampak besar tetapi sebenarnya tidak, sebab RM235 dibayar selama 12 bulan iaitu dari Januari hingga Disember dan RM320 dibayar selama 11 bulan iaitu dari Januari hingga Oktober sahaja. Dengan kata lain kadar RM320 sebulan tidak mengambil kira yuran semasa cuti sekolah iaitu bulan Disember. Yuran tahunan yang dibayar awal sesi persekolahan pula sebanyak sekitar RM900 hingga RM1100 berbeza mengikut tahun / darjah.

Pakaian seragam, buku teks dan buku tulis: Pakaian sekolah dan buku ada dijual di koperasi sekolah, biasanya 2-3 minggu sebelum sesi persekolahan bermula. Tahun ini, jualan telah dimulakan bermula 16.12.2013 lepas. Anggaran kos untuk pembelian buku setahun adalah sekitar RM250 dan pakaian seragam sekolah adalah antara RM100 hingga RM300, berbeza mengikut berapa pasang yang kita sediakan untuk anak-anak.

Sukatan Pelajaran: Sama dengan Kementerian untuk subjek BM, BI, Mate dan Sains. Pelajaran agama mengikut sukatan Ikram-Musleh Malaysia. Ada jawi, akhlak, aqidah, fiqah, sirah, bahasa arab, tajwid, tilawah quran dan hafazan.

Waktu persekolahan: Mula dari 8 pagi hingga 3.30 petang. Kelas bermula dengan hafazan dari 8 pagi hingga 8.30 pagi. Kemudian baru diikuti dengan mata pelajaran lain.

Penglibatan ibubapa: Sangat digalakkan kerana sekolah status swasta dan banyak kekangan yang perlu dihadapi. Kebanyakan ibubapa bergiat aktif dalam menyokong sistem persekolahan. Antara aktiviti ibubapa adalah mesyuarat tahunan PIBG, gotong royong menceriakan kelas dan sekolah, kutipan pembinaan surau sekolah dan ceramah keibubapaan.

Syarat kemasukan: Agak ketat. Selain anak-anak perlu mengambil ujian bertulis dan ujian lisan yang meliputi subjek BM, BI, Mate, Jawi dan Bahasa Arab; ibubapa yang kali pertama ingin menghantar anak ke sekolah ini akan ditemuduga. Ini bagi memastikan yang ibubapa mempunyai keinginan yang kuat untuk menghantar anak ke sini, dan bagi menggalakan penglibatan ibubapa dalam menyokong sistem persekolahan. Syarat yang ketiga adalah ibubapa perlu menghadiri kursus keibubapaan yang diadakan oleh pihak sekolah. Jadi ada 3 syarat yang perlu ditempuhi; anak-anak lulus ujian, ibubapa lulus ditemuduga dan wajib menghadiri kursus keibubapaan, ketat bukan J


Gambar Muhammad dan rakannya semasa aktiviti lawatan ke zoo Negara pada 3.7.2012 anjuran Sekolah Rendah Sri Al Amin Bangi

Anugerah: Setiap tahun akan diadakan hari takrim, bagi memberikan hadiah dan galakan kepada pelajar yang cemerlang, bukan saja dalam akademik, malah ada juga katogeri untuk pelajar sahsiah terbaik, pelajar kreatif, kepimpinan dan lain-lain. Anugerah bukan sekadar akademik kerana setiap anak dikurniakan berbeza-beza dengan bakat yang berlainan.


Muhammad menerima anugerah pelajar sahsiah terbaik kelasnya kategori lelaki pada 17.11.2013. Alhamdulillah mengekalkan anugerah yang sama dimenanginya pada tahun 2012 lepas. Harap sahsiahnya dapat dicontohi oleh adik-adiknya yang lain, insyaAllah


Muhammad bersama Aisyah, Athirah dan rakan-rakannya, dengan hadiah pelajar sahsiah terbaik kelasnya kategori lelaki, tahun 2012 pada 11.11.2012 di Sri Al Amin Bangi


Saluran seterusnya: Anak-anak yang cemerlang dalam UPSR boleh memohon untuk ke sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH seluruh Malaysia, boleh juga memohon untuk ke MRSM, dan tiada masalah untuk masuk ke sekolah menengan harian biasa. Di Al Amin Bangi sendiri ada program Tahfiz untuk pelajar lepasan UPSR, tetapi buat masa sekarang hanya untuk pelajar lelaki sahaja.

Dahulu, permohonan untuk ke asrama penuh ada sedikit masalah bila ada kekangan dengan sistem online, tetapi sekarang kami difahamkan masalah ini telah diatasi. Untuk kesahihan pembaca boleh berhubung terus dengan pihak sekolah.

Lokasi dan no telefon: Sekolah Sri Al Amin Bangi, PT 39519 Kampung Sungai Tangkas, 43657 Bandar Baru Bangi, Selangor. Tel: 03-8925 2454, Fax: 03-8925 8717

Sek Rendah Integrasi (SRAI)


Yuran: Yuran tahunan yang dibayar awal sesi persekolahan adalah sebanyak sekitar RM140 hingga RM160 berbeza mengikut tahun / darjah. Sekolah ini juga kategori swasta tetapi yuran pengajiannya dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Yuran bulanan pula hanya RM50 untuk bayaran makanan sahaja. Anak-anak akan diberi makan pada waktu tengah hari.

Pakaian seragam, buku teks dan buku tulis: Pakaian sekolah boleh dibeli di kedai biasa, buku dan alat tulis ada dijual di koperasi sekolah. Buku teks ada diberikan pinjaman, hanya perlu beli buku tulis dan kelengkapa lain sahaja. Anggaran sekitar RM100 bergantung kepada tahun / darjah. Pakaian seragam sekolah adalah antara RM100 hingga RM300, berbeza mengikut berapa pasang yang kita sediakan untuk anak-anak.

Sukatan Pelajaran: Sama dengan Kementerian untuk subjek BM, BI, Mate dan Sains. Pelajaran agama mengikut sukatan JAIS. Ada jawi, akhlak, aqidah, fiqah, sirah, bahasa arab, tajwid, tilawah quran dan hafazan.

Waktu persekolahan: Mula dari 7.30 pagi hingga 4 petang.

Penglibatan ibubapa: Digalakkan. Antara aktiviti tahunan ibubapa adalah mesyuarat tahunan PIBG, dan juga jualan buku sempena pengambilan buku rekod anak-anak.

Syarat kemasukan: Agak ketat. Anak-anak juga perlu mengambil ujian bertulis dan ujian lisan sama seperti kemasukan ke SSAAB yang meliputi subjek BM, BI, Mate, Jawi dan Bahasa Arab, tetapi ibubapa tidak perlu ditemuduga. Keputusan sepenuhnya bergantung kepada prestasi anak-anak. Banyak ragam yang akan kita nampak masa ujian ini nanti. Persaingan agak sengit kerana ramai yang akan mohon untuk masuk ke SRAI disebabkan sekolah 1 sesi (sekolah kebangsaan dan agama dalam satu masa pengajian) dan yuran bulanan ditanggung oleh JAIS @ Kerajaan Negeri Selangor, hanya perlu bayar makan RM50 sebulan sahaja.


Aisyah dan Athirah di perhimpunan mingguan, setiap pagi Jumaat di SRAI BBBangi pada 3.1.2014


Athirah ditangkap oleh kawan tadikanya ketika pulang dari sekolah. Kawan sepermainan dan setadika

Muhammad dan Aisyah ketika pulang dari sekolah pada 14.1.2013, singgah solat Asar di masjid UKM sebelum ambil Liza pulang dari pejabat.



3 beradik singgah solat Asar di masjid UKM


Anugerah: Setiap tahun juga akan diadakan hari penyampaian hadiah.

Saluran seterusnya: Lepasan UPSR boleh memohon untuk ke sekolah rangkaian agama. seluruh Malaysia, boleh juga memohon untuk ke MRSM, dan tiada masalah untuk masuk ke sekolah menengah harian biasa.

Permohonan untuk ke asrama penuh dahulunya juga ada sedikit masalah, tetapi sekarang kami difahamkan masalah ini telah diatasi, juga melibatkan sistem online yang ada sedikit kekeliruan dalam memasukkan pelajar sekolah katogeri swasta. Untuk status terkini pembaca boleh berhubung terus dengan pihak sekolah.

Lokasi dan no telefon: Sekolah Rendah Agama Integrasi, Bandar Baru Bangi, Jalan Kemajuan, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Tel: 03-8925 4714, Fax: 03-8920 2801 email: sraibbb@yahoo.com.my

Sek Kebangsaan (SK)


Antara sekolah yang menjadi pilihan warga Bangi adalah SK Jalan 3 dan SK Jalan 4. Bermula tahun 2012 setiap anak yang ingin memohon untuk masuk ke SK Jalan 3, tetapi diluar daripada kawasan saluran, perlu mengambil ujian bertulis di sekolah. Hanya yang lulus akan ditawarkan tempat.

Sekolah 2 sesi; darjah 1-3 sesi petang sukatan pelajaan sekolah kebangsaan dan sesi pagi sukatan agama. Darjah 4-6 sesi pagi sukatan pelajaan sekolah kebangsaan dan sesi petang sukatan agama. Ramai juga pelajar cemerlang yang dihasilkan oleh SK.

Permohonan kemasukan ke SK secara online. Permohonan ke SRAI perlu isi borang yang boleh ambil di sekolah, tetapi perlu juga mendaftar secara online untuk kemasukan ke SK. Ini kerana hampir separuh pelajar yang mohon ke SRAI terpaksa ditolak kerana faktor tempat. Jadi mereka perlu cari sekolah lain ataupun ke SK. Permohonan ke SSAB melalui borang yang boleh diambil disekolah. Sekarang SSAB telah membuka cawangannya di Nilai.

Kesimpulannya anak-anak adalah anugerah Allah, kita sebagai ibubapa yang perlu mencorakkan mereka mengikut acuan yang sepatutnya. Keseimbangan antara pengisian rohani, akidah dan akademik perlu diselarikan bagi menghasilkan ganerasi yang bukan saja cemerlang di dunia malah berjaya di akhirat. Status kewangan juga penting dalam memilih sekolah untuk anak-anak.

Akhirnya bukan sekolah yang menentukan kejayaan anak-anak, tetapi kita sebagai ibubapa dan anak-anak sendiri yang akan menentukan kejayaan itu, dengan bantuan dan sokongan daripada sekolah. Usaha yang terbaik, berdoa kepada Allah, insyaAllah semoga kita dikurniakan anak-anak yang menjadi penyejuk mata kedua ibubapanya. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat.






“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku” (Surah 14 Ibrahim ayat 40)

Wallahhua’lam

Lukeman & Siti Norliza
Bangi Selangor
20.12.2013
Tel/sms/whatsapp: 013-2299319
Blog: www. jombahagia.blogspot.com
Email: jombahagia@gmail.com


Artikel berkaitan: