Wednesday 12 February 2014

Travelog Umrah dan Ziarah (2) Keutamaan Mekah

Sesuatu pekerjaan yang kita lakukan akan terasa lebih lazat dan nikmat bila kita tahu kelebihan dan keutamaannya. Jadi sebelum berangkat ke tanah suci Mekah dan Madinah, adalah lebih baik kita tahu apakah kelebihan dua kota suci Islam ini berdasarkan dalil ayat Quran dan Hadis Nabi SAW.

Mekah adalah tanah haram, negeri yang paling dicintai Allah dan RasulNya, dan kiblat bagi seluruh umat Islam. Antara kelebihan Mekah seperti yang terkandung dalam Quran dan Hadis adalah:

(1) “Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia” QS Ali Imran: 97
(2) “Demi Allah, sesungguhnya engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling baik dan tanah yang paling dicintai Allah, andaikan aku tidak diusir daripadamu, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu” HR.Ahmad, HRTarmizi no. 3295, HR Ibnu Majah no. 3168

(3) “ 1 solat dimasjidku ini lebih utama daripada 1000 solat di tempat lain, kecuali masjidil Haram, dan 1 solat di masjidil Haram lebih baik daripada 100 000 solat di tempat lain” HR. Bukhari no 1190 dan HR Muslim no. 1394
Hasan Al Bashri rahimahullah berkata “Puasa sehari di Mekah sama dengan puasa 100 000 hari, sedekah 1 dirham sama dengan 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan menjadi 100 000” Fadail Mekah oleh Hasan Al Basri hal. 21
Mujahid rahimahullah berkata “Dosa berbuat kejahatan di Mekah dilipatgandakan seperti amalan kebajikan di Mekah” Mutsir al Ghuram hal. 234

Gambar Kaabah dari pandangan atas. Masa ini Lukeman naik ke tingkat paling atas untuk Solat Isya' dan jumpa sepupu yang menetap di Mekah di sini (30.1.2014 sehari sebelum kami berangkat pulang ke Malaysia)

(4) Keutamaan Hajar Aswad:

“Hajar Aswad diturunkan dari syurga, saat itu warnanya lebih putih daripada susu, lau dosa-dosa keturunan Adam membuatkannya berubah menjadi hitam” HR Tirmizi no.877

“Demi Allah, Hajar Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat, Allah memberinya mata yang dapat melihat dan lidah yang dapat berbicara, memberikan persaksian terhadap orang yang menyentuhnya dengan kebenaran” HR Ibnu Abbas

“Sesungguhnya Hajar Aswad dan Maqam adalah 2 buah batu di antara batu-batu Yaqut (batu mulia) di syurga, yang dihilangkan oleh Allah cahayanya. Andaikata Allah tidak menghilangkan cahayanya, nescaya sinarnya menerangi antara timur dan barat” HR Ahmad dan HR Ibnu Khuzaimah no. 2732




Suasana di depan Kaabah, menghadap Hajar Aswad, sebelum waktu solat. Para Jemaah sedang membentuk saf, ada beberapa orang yang masih melakukan tawaf. Masa ini Lukeman sedang menunggu waktu solat, betul-betul di penjuru Hajar Aswad


Pengawal yang menjaga Hajar Aswad. Waktu ini orang ramai dah tak boleh cium Hajar Aswad. Namun ada kes tertentu yang kami nampak sendiri, ada seorang kanak-kanak dating cium dan orang yang kakinya bertongkat dating cium, pengawal benarkan untuk kes-kes terpencil.


Gambar Hajar Aswad bila di zoom dengan kamera


Alhamdulillah Lukeman dapat cium Hajar Aswad kali pertama pada 26.1.2014, sebelum solat Zohor. Waktu Zohor di Mekah masa ini adalah 12.33 tengahari. Gambar ini diambil sebelum azan Zohor, selepas diizinkannya untuk cium Hajar Aswad, 26.1.2014 jam 12.30 tengah hari waktu Mekah (5.30 petang waktu Malaysia). Muka sedikit penat dan berpeluh tapi Alhamdulillah dapat juga cium, selepas berpusing-pusing 3 kali di depan Multazam. Bibir pecah dan tumit kaki pecah. Kesihatan lain-lain Alhamdulillah. Hari pertama di Mekah, kami tiba dalam jam 1.30 pagi, dan siap Umrah pertama jam 4 pagi, solat subuh, balik hotel dan tidur. Datang balik ke Masjidil Haram dalam jam 11 pagi untuk tawaf sunat dan dalam jam 12 tengahhari dapat cium Hajar Aswad, Alhamdulillah.


Ni Liza selepas dapat keizinannNya untuk cium Hajar Aswad. Itupun juga selepas berpusing 3 kali sebab ditolak dan sebagainya rintangan, sampai ada makcik dari Indonesia tegur kami "Bapak ni kenapa asyik berpusing-pusing dari tadi". Gambar pada 29.1.2014, 5.30 pagi waktu Mekah, sebelum azan Subuh, ataupun 10.30 pagi waktu Malaysia.


(5) Keutamaan Maqam Nabi Ibrahim AS

“Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat” QS Al Baqarah: 125

“Sesungguhnya Hajar Aswad dan Maqam adalah 2 buah batu di antara batu-batu Yaqut (batu mulia) di syurga, yang dihilangkan oleh Allah cahayanya. Andaikata Allah tidak menghilangkan cahayanya, nescaya sinarnya menerangi antara timur dan barat” HR Ahmad dan HR Ibnu Khuzaimah no. 2732


(6) Keutamaan Hijir Ismail AS

“Jika engkau ingin masuk ke Baitullah, maka solatlah di sini (Hijir Ismail), kerana ini adalah sebahagian daripada Baitullah, kerana kaummu menguranginya disaat membangunkannya kembali” HR Nasa’i no. 2915

“Lakukanlah solat si tempat orang-orang pilihan, dan minumlah minuman orang-orang yang baik. Lalu ada yang bertanya “Di mana tempat orang-orang pilihan itu?”. Ia menjawab :Dibawah Mizab (pancuran emas)”, dan ada yang bertanya, “Apa minuman orang-orang yang baik?”. Ia menjawab “Air zam-zam” HR Abnu Abbas

Suasana di tepi Hijir Ismail. DI dalam Hijir Ismail dah pun kosong sebab hamper masuk waktu solat fardu. Solat sunat dibenarkan solat di dalam Hijir Ismail, tetapi solat fardu tidak dibenarkan.


Lampu penanda Hijir Ismail ada 3.


Hijir Ismail pandangan dari dalam ke luar

Maqam Ibrahim disebelah kiri (yang lampu besar tu. Dalam tu ada bekas tapak kaki Nabi Ibrahim pada batu yang diturunkan dari syurga semasa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina kaabah dengan bantuan para Malaikat. Sebelah kanan yang ada tiga lampu tu Hijir Ismail


Suasana di depan Kaabah selepas Solat Subuh, 29.1.2014 jam 6.24 pagi waktu Mekah. Selepas subuh suasana sedikit lengang dan agak sesuai untuk tawaf bagi yang ingin mengelak kesesakan.


(7) Keutamaan  air zam-zam

“Air yang paling baik dipermukaan bumi adalah air zam-zam. Ia mengandungi makanan bergizi dan menyembuhkan penyakit” HR At Tabarani

“Tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafik adalah mereka tidak minum air zam-zam sampai kenyang” HR Albaihaqi

“Air zam-zam sesuai dengan tujuan orang yang meminumnya” HR Ibnu Majah; 3062

“Demam adalah merupakan angin panas daripada neraka Jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air zam-zam


Lukeman dan sahabat baru di Masjid Nabawi. Sebelah kiri tu tong-tong air zam-zam dan cawan yang disediakan di Masjid Babawi. Jadi tak perlu bawa air dari hotel. Jika perlu hanya bawa botol kosong sahaja. Minum sampai kenyang. Jangan lupa baca "Bismillah" dan selawat pada Nabi SAW terlebih dahulu untuk keberkatan, dan minum menghadap ke arah kiblat / Kaabah.


Liza di dalam Masjidil Haram. Di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi banyak disediakan tong air zam-zam dengan cawan sekali. Jadi tak perlu bawa air dari hotel. Jika perlu hanya bawa botol kosong sahaja. Minum sampai kenyang. Jangan lupa baca "Bismillah" dan selawat pada Nabi SAW terlebih dahulu untuk keberkatan, dan minum menghadap ke arah kiblat / Kaabah.


(8) Keutamaan Multazam

“Kawasan di antara sudut dan pintu kaabah dinamakan Multazam, tiada seorangpun yang berada di sana meminta kepada Allah sesuatu, kecuali hal itu akan diberikan kepadanya”.” HR Al Baihaqi

“Kawasan antara sudut dengan pintu kaabah adalah Multazam. Barang siapa yang berdoa kepada Allah di Multazam, maka Allah akan mengabulkan doanya” HR Al Azraqi

Kawasan antara sudut Hajar Aswad ini dengan pintu Kaabah dikenali sebagai Multazam. Di sini tempat mustajab doa, dan laluan ini dicadangkan bagi yang ingin cium Hajar Aswad. Lalu ikut Multazam, tepi yang guard ada tu. Kat situ nanti ada pemegang tempat guard duduk pada bahagian atas. Pegang pada pemegang tu dan ikut arus, insyaAllah nanti akan sampai depan Hajar Aswad. Pengalaman kami untuk sampai ke tempat pemegang tu terpaksa berpusing berkali-kali di depan Multazam. Banyakkan doa dan istigfar sebelum pergi dan juga di depan Multazam, Dia Maha Mendengar, InsyaAllah dengan azam. semangat dan izin dariNya insyallah nanti akan dapat.


Wallahhua’lam Liza & Lukeman
Bangi Selangor
12.2.2014
Shaklee Independent Distributor ID: 1089476
Tel/sms/whatsapp: 0196515717 / 0132299319
Blog: www. jombahagia.blogspot.com
Email: jombahagia@gmail.com

Artikel berkaitan:

1. Travelog Umrah dan Ziarah (3) Kekal Sihat dan Cergas di Madinah dan Mekah
2. Travelog Umrah dan Ziarah (4) Keutamaan Madinah dan Masjid Nabawi
3. Travelog Umrah dan Ziarah (1) Bangi menuju Madinah